Monday, 15 April 2013

Frasa di mana tidak boleh jadi penghubung ayat


PERKATAAN mana ialah kata ganti nama diri tanya. Selain perkataan mana, apa dan siapa juga tergolong ke dalam kata ganti nama diri tanya.
Mana ialah kata ganti nama yang merujuk benda atau orang. Apa merujuk benda dan perkara, dan siapa merujuk orang. Penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang berikut:
1. Apakah yang di dalam kotak itu?
2. Mana buah keranji yang saya bawa tadi?
3. Siapakah yang memenangi acara 100 meter lelaki?
Ketiga-tiga perkataan ini boleh mengalami proses penggandaan untuk membawa rujukan tidak tentu atau penegasan. Misalnya: Apa menjadi apa-apamana menjadi mana-mana, dan siapa menjadi siapa-siapa (sesiapa).
Perhatikan perbezaan makna dalam ayat-ayat contoh berikut:
4. Tidak dibenarkan siapa-siapa pun masuk ke dalam dewan ini.
5. Pilihlah mana-mana buah delima yang kamu hendak.
6. Apa-apa yang baik, jadikanlah teladan.
Perkataan mana, apabila didepani oleh kata depan di menerbitkan frasa sendi nama yang merujuk tempat. Misalnya:
7. Di mana kita akan bermalam nanti?
Frasa di mana dalam ayat (7) merujuk tempat kita hendak bermalam.
Namun begitu, wujud pula kekerapan yang tinggi penggunaan frasa di mana ini sebagai kata hubung dalam ayat.
Dalam penulisan, dua ayat atau lebih dihubungkan antara satu sama lain dengan menggunakan kata hubung sebagai ikatan; dan ayat gabungan yang terhasil ini dikenal sebagai ayat majmuk.
Dalam binaan ayat majmuk, kita perlu menggunakan kata hubung yang sesuai dengan maksud yang terkandung dalam ayat supaya ayat yang terbina itu gramatis.
Ayat yang dibina akan menjadi salah tatabahasanya jikalau kata hubung yang tidak sesuai digunakan.
Nampaknya, sudah menjadi satu kecenderungan pengguna bahasa, menggunakan frasa di mana sebagai penghubung antara dua ayat dalam penulisan dan pertuturan.
Dengan berdasarkan fungsi penggunaannya, jelaslah frasa di mana tidak boleh digunakan sebagai penghubung ayat kerana ayat yang terbentuk begitu janggal rasanya, malah ayat yang demikian bersifat keinggerisan.
Perhatikan ayat contoh berikut:
8. Wasiat merupakan satu-satunya cara di mana seseorang itu boleh memberikan hartanya kepada sesiapa yang dikehendakinya.
9. Sesuatu perindustrian di mana barang-barang yang dikeluarkan mungkin beratus-ratus kilometer jauhnya daripada pengguna.
Ayat (8) boleh dibina tanpa menggunakan perkataan di mana. Malah, tanpa perkataan di mana, ayat itu sudah sempurna maksudnya. Ayat berkenaan boleh ditulis semula sebagai
8a. Wasiat merupakan satu-satunya cara seseorang itu boleh memberikan hartanya kepada sesiapa yang dikehendakinya.
Kata di mana dalam ayat (9) pula kelihatan diada-adakan, sedang frasa tersebut dapat digantikan dengan perkataan "tempat" yang lebih jelas dan tepat kepada makna ayat tersebut. Oleh itu, ayat (9) boleh ditulis semula sebagai:
9a. Sesuatu perindustrian tempat barang-barang dikeluarkan mungkin beratus-ratus kilometer jauhnya daripada pengguna.
Pengguna bahasa perlu faham bahawa bukan dalam semua kes frasa di mana tidak boleh hadir di pertengahan ayat.
Selain digunakan sebagai kata tanya, di mana boleh hadir di pertengahan ayat jika maksud ayat merujuk tempat. Misalnya:
10. Pembunuh itu memberitahu polis di mana senjata api itu dicampakkan.
11. Datuk tidak ingat di mana beliau meletakkan cermin matanya.
Demikian huraian ringkas tentang kesalahan penggunaan frasa di mana yang tidak mengikut aturan bahasa. Oleh itu, kuasailah aturan bahasa ini yang telah ditetapkan supaya kesalahan berbahasa dapat dielakkan.

0 comments:

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More