PANDUAN
Bahagian C merupakan bahagian yang wajib dijawab dalam Kertas 2 Bahasa Melayu.
Penulisan. Bahagian ini mengandungi petikan sama ada bahan prosa
(pantun, puisi dan sajak) atau bukan prosa (cerita, dialog, ucapan dan sebagainya).
Biasanya petikan yang diberi sekitar 150 – 200 patah perkataan. Masa menjawab ialah 20 minit. Pelajar dikehendaki mencari nilai dalam petikan diberi dan mengulas nilai yang diperoleh. Panjang ulasan antara 50 – 60 patah perkataan.
Jawapan terbaik ialah jawapan yang dapat memberikan lima nilai atau pengajaran yang betul berserta ulasan atau contoh yang tepat dan bersesuaian dengan petikan diberi.
3. Bentuk Soalan
a. Tulis lima pengajaran yang dapat kamu peroleh daripada petikan
di bawah.
b. Tulis lima amalan baik yang dapat kamu peroleh daripada petikan
di bawah.
c. Tulis lima nilai positif yang dapat kamu peroleh daripada petikan
di bawah.
·
Nota Penting
Walau pun bentuk soalan berbeza namun kesemuanya menjurus kepada satu matlamat iaitu nilai murni
4. Kaedah Pengajaran
Kaedah pengajaran merujuk kepada apakah teknik yang akan digunakan bagi mengembangkan pelajarannya. Teknik pengajaran yang digunakan dalam proses pengajaran yang jelas dan menarik dapat memudahkan pelajar memahami pelajaran yang diajar. Oleh itu pengajaran perlulah diajar secara berperingkat-peringkat daripada senang kepada yang susah. Untuk mengajar Bahagian C agar pelajar lebih mantap menjawab Bahagian C maka beberapa kaedah boleh digunakan.
4.1 Memperkenalkan Nilai-Nilai Murni
Di peringkat awal pengajaran guru perlu memperkenalkan dan menerapkan
nilai-nilai murni dalam pengajaran dan pembelajaran. Terdapat nilai murni utama yang diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran yang perlu diketahui oleh pelajar. Bagi memantapkan pelajar, guru perlu menerangkan nilai dan pecahannya dan memberikan contoh dalam bentuk peristiwa bagi memudahkan murid memahami. Murid juga digalakkan memberikan contoh sesuai dengan nilai diberi. Lihat contoh di bawah:
NILAI-NILAI MURNI
BERTANGGUNGJAWAB
PRIHATIN
BAIK HATI
BERDISIPLIN
KERAJINAN
BERTOLAK ANSUR
BERHATI-HATI
BERJIMAT CERMAT
TOLONG-MENOLONG
BERDIKARI
KERJASAMA
BERHEMAH TINGGI
KESEDERHANAAN
KASIH SAYANG
BERSYUKUR
KEADILAN
RASIONAL
KEBEBASAN
SEMANGAT BERMASYARAKAT
KEBERANIAN
HORMAT-MENGHORMATI
KEJUJURAN
PATRIOTISME
KEBERSIHAN
FIZIKAL DAN MENTAL
4.2 Kaedah Simulasi
Simulasi merupakan satu situasi pembelajaran yang terkawal dan sengaja diwujudkan sama seperti situasi yang sebenar. Simulasi boleh dijalankan sama ada secara sosiodrama atau main peranan. Dalam sosiodrama biasanya skrip telah disediakan manakala main peranan lebih kepada lakonan. Beberapa pelajar melakonkan (main peranan) satu situasi dan minta murid menyatakan nilai murni yang terdapat dalam lakonan tersebut. Contohnya pelajar melakonkan situasi bersalam dengan ibu bapa. Kemudian minta pelajar menyatakan nilai murni daripada perbuatan tersebut. Kaedah ini amat menarik pelajar kerana di samping dapat menonjolkan bakat, pelajar juga dapat menjelmakan nilai murni yang terdapat daripada lakonan tersebut.
4.3 Kaedah Bercerita
Kaedah bercerita juga boleh digunakan semasa mengajar Bahagian C ini. Cerita yang disampaikan boleh dilakukan dalam berbagai cara. Antaranya;
i. Guru bercerita sebuah cerita pendek (10 minit). Selepas itu, minta pelajar berikan nilai murni atau pengajaran yang terdapat dalam petikan. Kemudian minta pelajar mengulas nilai murni atau pengajaran berdasarkan cerita tersebut.
ii. Guru atau murid membaca petikan yang disediakan manakala murid mencatat nilai murni dan pengajaran yang diperoleh.
iii. Guru mendengarkan rakaman cerita, drama, deklamasi puisi dan sebagainya. Murid diminta mencatat nilai murni atau pengajaran yang diperoleh.
4.4 Menukar Nilai Negatif Kepada Positif
Dalam petikan diberi bagi Bahagian C ini tidak semuanya menjurus kepada nilai murni. Terdapat bahan diberi mengandungi nilai negatif. Guru perlu menerangkan kepada murid tentang arahan soalan yang mahukan nilai positif atau pengajaran yang diperoleh daripada petikan. Justeru itu, pelajar perlu dilatih menukar nilai negatif dalam petikan kepada nilai positif dan membuat ulasan berdasarkan petikan. Contoh;
Nilai negatif
Nilai positif dan ulasan
Ah Meng suka bercakap bohong dengan ibunya.
Kita mestilah bercakap benar dengan ibu kita.
Muttu sangat malas menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh gurunya.
Kita hendaklah rajin menyiapkan kerja sekolah yang diberikan.
Ali suka berlagak dan sombong kerana dia anak orang berada.
Kita sepatutnya berhemah tinggi walaupun kita orang berada.
4.5 Pengunaan Alat Bantuan Mengajar
Penggunaan alat bantuan mengajar seperti gambar boleh digunakan bagi
mengajar Bahagian C ini. Gambar yang ditunjukkan juga dapat memberikan mesej kepada pelajar. Sehubungan dengan itu, dalam proses pengajaran untuk memudahkan pelajar mencari nilai murni maka gambar boleh digunakan. Gambar yang dtunjukkan atau diberikan boleh merupakan gambar tunggal atau gambar bersiri. Selain itu, gambar melalui surat akhbar, majalah, kartun atau dengan melayari internet juga boleh digunakan.
Di peringkat tahap 1, proses pengajaran begini akan menarik minat pelajar.
4.6 Menjelmakan nilai
Satu lagi teknik yang perlu diajar kepada pelajar untuk menjawab Bahagian C ini ialah menjelmakan nilai baik yang sedia ada dalam petikan. Pelajar tidak boleh mengambil nilai baik yang dinyatakan dalam petikan kerana jika pelajar berbuat demikian maka pelajar tersebut dianggap menyalin semula petikan. Contohnya jika dalam petikan ada nilai diberi ‘terima kasih’ maka ‘terima kasih’ tidak boleh dinyatakan dalam ulasan diberi. Nilai ‘terima kasih’ perlu dijelmakan dengan perkataan baru yang mempunyai nilai yang sama iaitu ‘bersyukur’ atau ‘menghargai’.
Di bawah diberikan beberapa contoh nilai yang sinonim dengan nilai diberi.
terima kasih = menghargai = bersyukur
berhati-hati = berhemah = cermat
belas kasihan = simpati
berbudi bahasa = hemah tinggi
adil = saksama = hemah tinggi
5. Langkah Penting Menjawab bahagian C
5.1 Baca petikan sekurang-kurangnya dua kali. Gariskan isi penting
penting dan kenal pasti nilai baik berdasarkan kehendak soalan
Pelajar mempunyai masa yang mencukupi. Bacaan pertama adalah
untuk memahami petikan. Bacaan kali kedua untuk mengenal pasti nilai
dan garisi ayat yang ada nilai murni dan tuliskan nilai di tepi petikan
Contoh:
Aku anak petani.Namaku Firdaus. Walau pun hidupku “ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.Hubungan kekeluargaan kami masih erat. Ayah sentiasa memberikan sepenuh perhatian kepada kami. Walaupun kami hidup susah, ibu tidak pernah mengeluh.
Harapan ayah dan ibu ingin melihat aku berjaya. Aku membuat persediaan awal untuk menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah. Di sekolah aku sentiasa menumpukan perhatian semasa guru mengajar. Di rumah pula, aku menyediakan jadual waktu untuk belajar.
Kegiatan sukan di sekolah tidak aku tinggalkan. Dengan bersukan, badanku menjadi cergas. Justeru, aku akan dapat belajar dengan selesa.
Aku bertekad mengubah nasib keluarga aku. Untuk itu aku berjanji akan belajar dengan gigih dan menjadi model terbaik kepada adik-adikku. Aku akan membuktikan bahawa kemiskinan bukan penghalang mencapai kejayaan.
5.2 Gunakan kata ganti nama ‘kita’.
Petikan dibaca oleh pelajar dan pelajar yang dapat pengajaran
daripada petikan. Justeru itu gunakan kata ganti nama ’Kita’ semasa
membuat ulasan.
5.3 Gunakan frasa ‘kita hendaklah’, ‘kita haruslah’,
Pelajar boleh menggunakan rangkai kata tersebut bagi memberi
penekanan nilai atau pengajaran yang diulas. Antara rangkai kata yang
sesuai digunakan seperti berikut:
kita haruslah ...
kita hendaklah ...
kita sepatutnya ...
kita sewajarnya ...
kita mestilah ...
kita perlulah ...
Contoh ulasan : Kita sepatutnya rajin menyiapkan kerja sekolah yang
diberi oleh guru.
5.4 Berikan lima idea penting dalam satu perenggan
Pelajar hanya perlu mengambil lima nilai daripada petikan. Jika ada
lebih daripada lima nilai dalam petikan maka pelajar harus memilih lima
sahaja nilai dan ulas setiap nilai dalam satu perenggan sahaja. Jika pelajar
menulis lebih dari lima nilai maka hanya lima nilai awal sahaja yang
diambil kira. Pelajar yang membina ulasan dalam bentuk berpoin, frasa
atau lebih satu perenggan tidak akan cemerlang.
5.5 Mesti mengambil nilai atau pengajaran dan contoh daripada
petikan sahaja.
Pelajar perlu mengambil nilai, membuat ulasan (huraian) atau contoh
berdasarkan petikan diberi. Maksudnya ulasan tidak boleh di luar petikan.
Ulasan di luar petikan menyebabkan pelajar tidak akan mendapat markah
yang baik.
Contoh :
Rupa-rupanya budak itu telah kehilangan duit. Rosman telah memberikan sebahagian wangnya kepada budak itu.
Ulasan salah : Kita mestilah memberi bantuan kerana itu adalah
amalan yang mulia.
* salah kerana ulasan di luar petikan walaupun nilainya tepat.
Ulasan sepatutnya : Kita mestilah memberi bantuan kewangan
kepada orang yang memerlukan pertolongan.
* Betul kerana ulasan berdasarkan petikan .
Ulasan sepatutnya : Kita mestilah membantu orang lain seperti Rosli
yang memberikan sebahagian wang kepada
budak itu.
* Betul kerana ulasan mengambil contoh dalam petikan.
5.6 Jelmakan nilai yang terdapat dalam petikan
Petikan diberi biasanya mengandungi nilai yang tersirat (nilai tidak
dinyatakan secara terus) dan nilai tersurat (nilai yang dinyatakan terus
dalam petikan). Nilai yang tersirat ini memerlukan pelajar menjelmakan
nilai yang sesuai berdasarkan ayat diberi. Bagi nilai yang tersurat pelajar
perlu menjelmakan nilai baru yang sinonim dengan nilai yang tersurat itu.
5.6.1 Contoh petikan yang mengandungi nilai yang tersirat:
Sang Semut sering keluar mencari makanan untuk
kumpulannya.
* Nilai yang tersirat ialah rajin.
5.6.2 Contoh petikan yang mengandungi nilai yang tersurat:
Sang Merbuk segera terbang untuk menyelamatkan diri. Sang Merbuk mengucapkan terima kasih kepada Sang Semut.
* Dalam petikan telah terdapat nilai tersurat (sedia ada) iaitu terima kasih.
5.6.3 Menjelmakan nilai yang tersurat
Kita perlu menjelmakan nilai yang tersurat dengan nilai baru yang
sinonim dengan nilai tersebut. Jika tidak kita seolah-olah menyalin
semula nilai dalam petikan dan kemungkinan besar nilai yang disalin
semula itu tidak memberikan markah.
Contoh:
Sang Merbuk segera terbang untuk menyelamatkan diri. Sang Merbuk mengucapkan terima kasih kepada Sang Semut
Nilai tersurat terima kasih gantikan dengan menghargai atau
bersyukur.
5.7 Gunakan penanda wacana bagi menghubungkan ayat
Penanda Wacana digunakan bagi menghubungkan ayat dengan ayat
yang lain agar lebih menarik. Untuk itu pelajar boleh menggunakan penanda
wacana dalam Fomula ASSDA bagi menjawab soalan bahagian C. Antara
penanda wacana yang sesuai digunakan ialah di samping itu, seterusnya,
selain itu dan akhirnya.
5.8 Garisi nilai yang ditulis dalam jawapan
Garisi nilai yang ditulis bagi memberi penekanan tentang nilai yang
dinyatakan. Selain itu ia memudahkan pemeriksa mengenal pasti nilai yang
disampaikan.
6. Fomula mudah menjawab
Bagi memudahkan pelajar menjawab bahagian C ini , satu fomula direka yang dikenali ASSDA seperti dinyatakan:
i. Antara nilai murni/pengajaran…. A
ii. Seterusnya…………….. S
iii. Selain itu……… S
iv. Di samping itu……. D
v. Akhirnya ………. A
Fomula ini memudahkan pelajar mengingat dengan menyediakan penanda wacana yang sesuai. Pelajar cuma memasukkan nilai dan membuat ulasan dalam lima ayat sahaja. Ini dapat membantu pelajar daripada membuat ulasan yang panjang. Untuk memudahkan lagi, terutama pelajar-pelajar lemah dan sederhana, masukkan frasa ‘kita mestilah’, kita sepatutnya’, ‘kita perlulah’ selepas penanda wacana seperti contoh disediakan:
Antara nilai murni / pengajaran yang saya peroleh daripada petikan ialah …………………….........................................
………………… . Seterusnya, kita perlulah………............................
................................................................................Selain itu, kita mestilah……………………………….........................................................
Di samping itu, kita sewajarnya .............................................
….....................................Akhirnya,kita ……….............................
7. Kesilapan Semasa Menjawab
7.1 Menyalin petikan
Jangan menyalin petikan. Anda dianggap tidak menjawab tugasan dan
markah akan berada pada tahap Pencapaian Tahap Maksima (PTM).
7.2 Meringkaskan petikan
Ada pelajar yang mengambil sebahagian ayat atau mengambil beberapa
ayat dalam petikan dan menyambungnya seolah-olah tidak menyalin
petikan. Ini juga tidak menepati tugasan dan berada pada pemarkahan
Pencapaian Tahap Maksima (PTM).
7.3 Menyenarai nilai dalam bentuk poin atau frasa
Pelajar cuba ambil cara mudah dengan hanya menyenarai nilai dalam
bentuk poin atau frasa seperti contoh di bawah:
1. baik hati
2. berkerjasama
- mesti bertanggungjawab
* Perlu berhati-hati
Pelajar yang berbuat sedemikian dianggap juga tidak menepati tugasan dan
berada pada pemarkahan Pencapaian Tahap Maksima (PTM).
7.4 Ada nilai diberi tanpa huraian
Pelajar yang memberi nilai sahaja tanpa huraian pemarkahannya
berada pada aras memuaskan.
Contoh:
Selain itu kita mestilah rajin. Kita juga perlu
bertanggungjawab.
7.5 Ambil nilai dalam petikan tetapi huraian luar petikan
Ada pelajar yang dapat memberi nilai dengan tepat berdasarkan
petikan tetapi ulasan nilai di luar petikan. Pelajar yang berbuat sedemikian
tidak boleh cemerlang dan hanya berada pada pemarkahan Aras
Memuaskan. Cuba lihat contoh di bawah yang mana ulasan di luar petikan.
Ali membuat latihan bahasa Melayu yang diberikan oleh gurunya.
Ulasan salah : Kita perlulah rajin kerana itu sikap yang
baik. (Ulasan di luar petikan)
Ulasan tepat : Kita perlulah rajin membuat kerja sekolah
yang diberikan oleh guru.
7.6 Tidak menjelmakan nilai.
Pelajar tidak dapat menjelmakan nilai. Pelajar biasanya mengambil
semula nilai yang telah ada dalam petikan. Sepatutnya pelajar perlu
menjelmakan nilai dengan memberi sinonim nilai yang terdapat dalam
petikan. Perhatikan contoh di bawah :
Ali mengucapkan terima kasih kepada Abu yang membantunya mengangkat mejanya.
Salah : Kita perlulah mengucapkan terima kasih kepada
rakan yang membantu kita.
Betul : Kita perlulah menghargai bantuan yang diberikan
oleh orang lain kepada kita.
7.7 Mengulang nilai atau idea
Pelajar tidak perlu mengulang idea yang sama walau pun dalam
petikan mengandungi nilai yang sama bagi aktiviti berbeza.
Pengulangan nilai atau idea yang sama tidak memberi apa-apa markah.
Oleh itu, pastikan hanya lima idea yang berlainan sahaja diulas.
8. Bentuk Ulasan Bahagian C
8.1 Bentuk Ulasan
Terdapat dua cara yang tepat untuk menjawab soalan Bahagian C ini
menggunakan fomula ASSDA seperti yang telah dijelaskan pada para 5 .
Dua cara tersebut ialah:
i. Memberi nilai dan membuat ulasan berdasarkan petikan.
Contoh:
Farid baru pulang dari sekolah. Selepas mandi, dia ke dapur menolong ibunya menghidang makanan tengah hari.
Nilai : membantu
Ulasan : Kita mestilah membantu ibu menghidangkan makanan
di dapur bagi meringankan kerja ibu.
ii. Memberi nilai dan mengambil contoh yang terdapat dalam petikan.
Contoh:
Farid baru pulang dari sekolah. Selepas mandi, dia ke dapur menolong ibunya menghidang makanan tengah hari.
Nilai : membantu
Ulasan : Kita mestilah membantu ibu seperti Farid yang menolong
ibunya menghidang makanan tengah hari.
* Pelajar boleh memilih salah satu cara menjawab mengikut kesesuaian.
Di bawah ini diberikan sepenuhnya contoh menjawab bahagian C
menggunakan kedua-dua cara yang telah diberikan.
9. Contoh Membuat Ulasan Bahagian C
Tulis lima nilai yang dapat kamu peroleh daripada petikan di bawah. Panjangnya jawapan kamu hendaklah tidak lebih daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.
Sang Semut sering keluar mencari makanan untuk
kumpulannya. Sang Semut bersungguh-sungguh dalam menjalankan tugas yang diberikan.
Pada suatu hari, ketika Sang Semut asyik mencari makanan, Sang Semut telah terjatuh ke dalam sungai. Sang Semut dihanyutkan air dan hampir lemas.
Sang Merbuk yang melihat kejadian itu segera menjatuhkan sehelai daun agar Sang Semut dapat berpaut. Sang Semut berjaya menyelamatkan dirinya dengan bantuan Sang Merbuk.
Pada suatu petang, Sang Semut terlihat seorang pemburu sedang mengacukan senapang ke arah Sang Merbuk. Sang Semut segera mengiggit kaki pemburu itu. Pemburu terkejut lalu tembakannya tersasar. Sang Merbuk segera terbang untuk menyelamatkan diri. Sang Merbuk mengucapkan terima kasih kepada Sang Semut.
Sejak peristiwa itu, Sang Semut dan Sang Merbuk bersahabat baik.
UPSR 2009
Nilai yang diperoleh dalam petikan
- rajin - bertindak pantas / bijak
- bersungguh-sungguh - membalas / mengenang budi
- tekun / berusaha / berdisiplin - berhemah / menghargai
- berhati-hati - setiakawan / hubungan baik
- membantu / menolong / baik hati - berani / rasional
- prihatin / belas kasihan
Contoh Ulasan Bentuk 1 (Ulasan Berkaitan Petikan)
Antara nilai yang diperoleh ialah kita mestilah rajin mencari rezeki untuk keluarga kita. Seterusnya kita perlulah tekun berusaha apabila menjalankan tugas yang diberikan. Selain itu, kita sepatutnya menolong orang lain yang memerlukan pertolongan. Di samping itu, kita perlulah bertindak pantas untuk menyelamatkan diri daripada bahaya. Akhirnya, kita haruslah menghargai pertolongan orang lain dengan mengucapkan terima kasih.
Contoh Ulasan Bentuk 2 (Ulasan Mengambil Contoh Dalam Petikan)
Antara nilai yang diperoleh ialah kita mestilah rajin membuat kerja seperti Sang Semut menjalankan tugas yang diberikan. Seterusnya kita perlu berhati-hati agar tidak jatuh ke dalam sungai seperti Sang Semut. Selain itu, kita perlu tolong menolong seperti Sang Merbuk yang menjatuhkan daun untuk Sang Semut berpaut. Di samping itu, haruslah membalas budi seperti Sang Semut membantu Sang Merbuk daripada ditembak pemburu. Akhirnya, kita menghargai pertolongan orang lain seperti Sang Merbuk yang mengucapkan terima kasih kepada Sang Semut.
0 comments:
Post a Comment