Guru SKRP

Bergaya dan berjaya.

Cikgu Hasnul Hadi

Semiskin-miskin orang ialah orang yang kekurangan adab dan budi pekerti – Hukama

Cikgu M Hamzah

Jika anda mahu membuat sesuatu, anda akan cari jalan. Jika anda tidak mahu membuat sesuatu, anda akan cari alasan. – Peribahasa Arab

Cikgu M Fairus

Harta akan habis digunakan tanpa ilmu tetapi sebaliknya ilmu akan berkembang jika ianya digunakan.

Cikgu Joe

Nilai hidup harus diukur dengan garis yang lebih mulia, iaitu kerja dan bukannya usia. – Richard Brinsley Sheridan

Tuesday 26 March 2013

TEKNIK MENJAWAB SOALAN PENULISAN BAHASA MELAYU BAHAGIAN A

PENGENALAN Ø Bahasa Melayu Kertas 2 (012) dalam bentuk ujian subjektif. Ø Terdapat lima soalan yang akan dikemukakan kepada calon iaitu Bahagian A (1 soalan), Bahagian B (3 soalan) dan Bahagian C (1 soalan) Ø Calon hanya perlu menjawab 3 soalan sahaja iaitu setiap bahagian 1 soalan sahaja . Ø Sebanyak 60 markah diperuntukkan iaitu Bahagian A (10 markah), Bahagian B (30 markah) dan Bahagian C (20 markah). Ø Jenis item yang diuji ialah dalam bentuk respon terhad bagi bahagian A dan C, manakala respon terbuka untuk Bahagian B. Ø Pemarkahan secara holistik berdasarkan kriteria penskoran yang ditetapkan. BAHAGIAN A Ø Gambar terdiri daripada gambar tunggal, gambar bersiri, jadual, pelan, kitaran dan peta. Ø Calon perlu meneliti maklumat yang terdapat dalam gambar tersebut. Ø Bina ayat dengan menggunakan nombor. Ø Masa yang dicadangkan untuk menjawab bahagian ini ialah 15 minit. Ø Markah yang diperuntukkan ialah 15 markah. Tulis lima ayat yang lengkap tentang aktiviti dalam gambar di bawah ini.
Langkah 1: Memahami dan meneliti gambar Ø Teliti dan cari maklumat yang terdapat dalam gambar tersebut. Ø Rangka idea seperti siapa / apa / di mana /bila / mengapa berdasarkan gmbar. Langkah 2: Baca dan cari kunci soalan Ø Baca keseluruhan soalan dan cari kunci soalan. Ø Kunci soalan bagi soalan perbincangan ini ialah sama ada tentang aktiviti, tentang gambar atau tentang situasi. Oleh itu, ayat yang dibina mestilah mengandungi kata kerja dan merujuk maklumat yang terdapat dalam gambar. Langkah 3: Bina rangka ayat. Ø Tulis perkataan yang sesuai tentang gambar Ø Digalakkan calon menulis pada gambar berkenaan agar tidak terpesong atau idea berulang. Contoh: 1. tiga murid – menyapu sampah 2. murid - menyusun hadiah 3. guru lelaki – menggantung kain rentang 4. guru lelaki – mengangkat rostrum 5. murid lelaki – menyusun sofa Langkah 4: Bina lima ayat lengkap Ø Tulis lima ayat sahaja berdasarkan rangka ayat. Ø Setiap ayat dicadangkan mempunyai nombor. * Jumlah kesemua ayay yang dibina digalakkan lebih daripada 30 patah perkataan. Murid menulis ayat lengkap dan bukan ayat mudah. Jawapan contoh: 1. Tiga orang murid lelaki sedang menyapu sampah di dalam dewan supaya kelihatan bersih dan cantik. 2. Beberapa orang murid perempuan sedang membantu seorang guru perempuan menyusun hadiah di atas meja. 3. Beberapa orang guru lelaki bekerjasama menggantung kain rentang pada dinding dewan. 4. Dua orang guru lelaki sedang mengangkat rostrum ke atas pentas untuk digunakan semasa sesi ucapan nanti. 5. Dua orang murid lelaki membantu seorang guru menyusun sofa di bawah pentas. Langkah 5: Menyemak Ø Selepas menulis jawapan, semak struktur ayat, penggunaan perkataan, tanda baca, imbuhan dan ejaan. Ø Pastikan ayat yang dibina berkaitan gambar. Ø Pastikan membina ayat gramatis.

PANDUAN MENJAWAB KERTAS 2 BAHAGIAN C

PANDUAN Bahagian C merupakan bahagian yang wajib dijawab dalam Kertas 2 Bahasa Melayu.

Penulisan. Bahagian ini mengandungi petikan sama ada bahan prosa (pantun, puisi dan sajak) atau bukan prosa (cerita, dialog, ucapan dan sebagainya).
Biasanya petikan yang diberi sekitar 150 – 200 patah perkataan. Masa menjawab ialah 20 minit. Pelajar dikehendaki mencari nilai dalam petikan diberi dan mengulas nilai yang diperoleh. Panjang ulasan antara 50 – 60 patah perkataan.
Jawapan terbaik ialah jawapan yang dapat memberikan lima nilai atau pengajaran yang betul berserta ulasan atau contoh yang tepat dan bersesuaian dengan petikan diberi.

3. Bentuk Soalan
a. Tulis lima pengajaran yang dapat kamu peroleh daripada petikan di bawah.
b. Tulis lima amalan baik yang dapat kamu peroleh daripada petikan di bawah.
c. Tulis lima nilai positif yang dapat kamu peroleh daripada petikan di bawah. ·

Nota Penting Walau pun bentuk soalan berbeza namun kesemuanya menjurus kepada satu matlamat iaitu nilai murni

4. Kaedah Pengajaran Kaedah pengajaran merujuk kepada apakah teknik yang akan digunakan bagi mengembangkan pelajarannya. Teknik pengajaran yang digunakan dalam proses pengajaran yang jelas dan menarik dapat memudahkan pelajar memahami pelajaran yang diajar. Oleh itu pengajaran perlulah diajar secara berperingkat-peringkat daripada senang kepada yang susah. Untuk mengajar Bahagian C agar pelajar lebih mantap menjawab Bahagian C maka beberapa kaedah boleh digunakan.
4.1 Memperkenalkan Nilai-Nilai Murni Di peringkat awal pengajaran guru perlu memperkenalkan dan menerapkan nilai-nilai murni dalam pengajaran dan pembelajaran. Terdapat nilai murni utama yang diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran yang perlu diketahui oleh pelajar. Bagi memantapkan pelajar, guru perlu menerangkan nilai dan pecahannya dan memberikan contoh dalam bentuk peristiwa bagi memudahkan murid memahami. Murid juga digalakkan memberikan contoh sesuai dengan nilai diberi. Lihat contoh di bawah:
NILAI-NILAI MURNI
 BERTANGGUNGJAWAB
PRIHATIN
BAIK HATI
BERDISIPLIN
KERAJINAN
BERTOLAK ANSUR
BERHATI-HATI
BERJIMAT CERMAT
TOLONG-MENOLONG
BERDIKARI
KERJASAMA
BERHEMAH TINGGI
KESEDERHANAAN
KASIH SAYANG
BERSYUKUR
KEADILAN
RASIONAL
KEBEBASAN
SEMANGAT BERMASYARAKAT
KEBERANIAN
HORMAT-MENGHORMATI
KEJUJURAN
PATRIOTISME
KEBERSIHAN
FIZIKAL DAN MENTAL

4.2 Kaedah Simulasi Simulasi merupakan satu situasi pembelajaran yang terkawal dan sengaja diwujudkan sama seperti situasi yang sebenar. Simulasi boleh dijalankan sama ada secara sosiodrama atau main peranan. Dalam sosiodrama biasanya skrip telah disediakan manakala main peranan lebih kepada lakonan. Beberapa pelajar melakonkan (main peranan) satu situasi dan minta murid menyatakan nilai murni yang terdapat dalam lakonan tersebut. Contohnya pelajar melakonkan situasi bersalam dengan ibu bapa. Kemudian minta pelajar menyatakan nilai murni daripada perbuatan tersebut. Kaedah ini amat menarik pelajar kerana di samping dapat menonjolkan bakat, pelajar juga dapat menjelmakan nilai murni yang terdapat daripada lakonan tersebut.

4.3 Kaedah Bercerita Kaedah bercerita juga boleh digunakan semasa mengajar Bahagian C ini. Cerita yang disampaikan boleh dilakukan dalam berbagai cara. Antaranya; i. Guru bercerita sebuah cerita pendek (10 minit). Selepas itu, minta pelajar berikan nilai murni atau pengajaran yang terdapat dalam petikan. Kemudian minta pelajar mengulas nilai murni atau pengajaran berdasarkan cerita tersebut. ii. Guru atau murid membaca petikan yang disediakan manakala murid mencatat nilai murni dan pengajaran yang diperoleh. iii. Guru mendengarkan rakaman cerita, drama, deklamasi puisi dan sebagainya. Murid diminta mencatat nilai murni atau pengajaran yang diperoleh.

4.4 Menukar Nilai Negatif Kepada Positif Dalam petikan diberi bagi Bahagian C ini tidak semuanya menjurus kepada nilai murni. Terdapat bahan diberi mengandungi nilai negatif. Guru perlu menerangkan kepada murid tentang arahan soalan yang mahukan nilai positif atau pengajaran yang diperoleh daripada petikan. Justeru itu, pelajar perlu dilatih menukar nilai negatif dalam petikan kepada nilai positif dan membuat ulasan berdasarkan petikan. Contoh; Nilai negatif Nilai positif dan ulasan Ah Meng suka bercakap bohong dengan ibunya. Kita mestilah bercakap benar dengan ibu kita. Muttu sangat malas menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh gurunya. Kita hendaklah rajin menyiapkan kerja sekolah yang diberikan. Ali suka berlagak dan sombong kerana dia anak orang berada. Kita sepatutnya berhemah tinggi walaupun kita orang berada.

4.5 Pengunaan Alat Bantuan Mengajar Penggunaan alat bantuan mengajar seperti gambar boleh digunakan bagi mengajar Bahagian C ini. Gambar yang ditunjukkan juga dapat memberikan mesej kepada pelajar. Sehubungan dengan itu, dalam proses pengajaran untuk memudahkan pelajar mencari nilai murni maka gambar boleh digunakan. Gambar yang dtunjukkan atau diberikan boleh merupakan gambar tunggal atau gambar bersiri. Selain itu, gambar melalui surat akhbar, majalah, kartun atau dengan melayari internet juga boleh digunakan.

Di peringkat tahap 1, proses pengajaran begini akan menarik minat pelajar.

4.6 Menjelmakan nilai Satu lagi teknik yang perlu diajar kepada pelajar untuk menjawab Bahagian C ini ialah menjelmakan nilai baik yang sedia ada dalam petikan. Pelajar tidak boleh mengambil nilai baik yang dinyatakan dalam petikan kerana jika pelajar berbuat demikian maka pelajar tersebut dianggap menyalin semula petikan. Contohnya jika dalam petikan ada nilai diberi ‘terima kasih’ maka ‘terima kasih’ tidak boleh dinyatakan dalam ulasan diberi. Nilai ‘terima kasih’ perlu dijelmakan dengan perkataan baru yang mempunyai nilai yang sama iaitu ‘bersyukur’ atau ‘menghargai’.
Di bawah diberikan beberapa contoh nilai yang sinonim dengan nilai diberi. terima kasih = menghargai = bersyukur berhati-hati = berhemah = cermat belas kasihan = simpati berbudi bahasa = hemah tinggi adil = saksama = hemah tinggi 5. Langkah Penting Menjawab bahagian C

5.1 Baca petikan sekurang-kurangnya dua kali. Gariskan isi penting penting dan kenal pasti nilai baik berdasarkan kehendak soalan Pelajar mempunyai masa yang mencukupi. Bacaan pertama adalah untuk memahami petikan. Bacaan kali kedua untuk mengenal pasti nilai dan garisi ayat yang ada nilai murni dan tuliskan nilai di tepi petikan Contoh: Aku anak petani.Namaku Firdaus. Walau pun hidupku “ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.Hubungan kekeluargaan kami masih erat. Ayah sentiasa memberikan sepenuh perhatian kepada kami. Walaupun kami hidup susah, ibu tidak pernah mengeluh. Harapan ayah dan ibu ingin melihat aku berjaya. Aku membuat persediaan awal untuk menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah. Di sekolah aku sentiasa menumpukan perhatian semasa guru mengajar. Di rumah pula, aku menyediakan jadual waktu untuk belajar. Kegiatan sukan di sekolah tidak aku tinggalkan. Dengan bersukan, badanku menjadi cergas. Justeru, aku akan dapat belajar dengan selesa. Aku bertekad mengubah nasib keluarga aku. Untuk itu aku berjanji akan belajar dengan gigih dan menjadi model terbaik kepada adik-adikku. Aku akan membuktikan bahawa kemiskinan bukan penghalang mencapai kejayaan. 

5.2 Gunakan kata ganti nama ‘kita’. Petikan dibaca oleh pelajar dan pelajar yang dapat pengajaran daripada petikan. Justeru itu gunakan kata ganti nama ’Kita’ semasa membuat ulasan.

5.3 Gunakan frasa ‘kita hendaklah’, ‘kita haruslah’, Pelajar boleh menggunakan rangkai kata tersebut bagi memberi penekanan nilai atau pengajaran yang diulas. Antara rangkai kata yang sesuai digunakan seperti berikut: kita haruslah ... kita hendaklah ... kita sepatutnya ... kita sewajarnya ... kita mestilah ... kita perlulah ... Contoh ulasan : Kita sepatutnya rajin menyiapkan kerja sekolah yang diberi oleh guru.

5.4 Berikan lima idea penting dalam satu perenggan Pelajar hanya perlu mengambil lima nilai daripada petikan. Jika ada lebih daripada lima nilai dalam petikan maka pelajar harus memilih lima sahaja nilai dan ulas setiap nilai dalam satu perenggan sahaja. Jika pelajar menulis lebih dari lima nilai maka hanya lima nilai awal sahaja yang diambil kira. Pelajar yang membina ulasan dalam bentuk berpoin, frasa atau lebih satu perenggan tidak akan cemerlang.

5.5 Mesti mengambil nilai atau pengajaran dan contoh daripada petikan sahaja. Pelajar perlu mengambil nilai, membuat ulasan (huraian) atau contoh berdasarkan petikan diberi. Maksudnya ulasan tidak boleh di luar petikan. Ulasan di luar petikan menyebabkan pelajar tidak akan mendapat markah yang baik. Contoh : Rupa-rupanya budak itu telah kehilangan duit. Rosman telah memberikan sebahagian wangnya kepada budak itu. Ulasan salah : Kita mestilah memberi bantuan kerana itu adalah amalan yang mulia. * salah kerana ulasan di luar petikan walaupun nilainya tepat. Ulasan sepatutnya : Kita mestilah memberi bantuan kewangan kepada orang yang memerlukan pertolongan. * Betul kerana ulasan berdasarkan petikan . Ulasan sepatutnya : Kita mestilah membantu orang lain seperti Rosli yang memberikan sebahagian wang kepada budak itu. * Betul kerana ulasan mengambil contoh dalam petikan.

5.6 Jelmakan nilai yang terdapat dalam petikan Petikan diberi biasanya mengandungi nilai yang tersirat (nilai tidak dinyatakan secara terus) dan nilai tersurat (nilai yang dinyatakan terus dalam petikan). Nilai yang tersirat ini memerlukan pelajar menjelmakan nilai yang sesuai berdasarkan ayat diberi. Bagi nilai yang tersurat pelajar perlu menjelmakan nilai baru yang sinonim dengan nilai yang tersurat itu.

5.6.1 Contoh petikan yang mengandungi nilai yang tersirat: Sang Semut sering keluar mencari makanan untuk kumpulannya. * Nilai yang tersirat ialah rajin.

5.6.2 Contoh petikan yang mengandungi nilai yang tersurat: Sang Merbuk segera terbang untuk menyelamatkan diri. Sang Merbuk mengucapkan terima kasih kepada Sang Semut. * Dalam petikan telah terdapat nilai tersurat (sedia ada) iaitu terima kasih.

5.6.3 Menjelmakan nilai yang tersurat Kita perlu menjelmakan nilai yang tersurat dengan nilai baru yang sinonim dengan nilai tersebut. Jika tidak kita seolah-olah menyalin semula nilai dalam petikan dan kemungkinan besar nilai yang disalin semula itu tidak memberikan markah. Contoh: Sang Merbuk segera terbang untuk menyelamatkan diri. Sang Merbuk mengucapkan terima kasih kepada Sang Semut Nilai tersurat terima kasih gantikan dengan menghargai atau bersyukur.

5.7 Gunakan penanda wacana bagi menghubungkan ayat Penanda Wacana digunakan bagi menghubungkan ayat dengan ayat yang lain agar lebih menarik. Untuk itu pelajar boleh menggunakan penanda wacana dalam Fomula ASSDA bagi menjawab soalan bahagian C. Antara penanda wacana yang sesuai digunakan ialah di samping itu, seterusnya, selain itu dan akhirnya.

5.8 Garisi nilai yang ditulis dalam jawapan Garisi nilai yang ditulis bagi memberi penekanan tentang nilai yang dinyatakan. Selain itu ia memudahkan pemeriksa mengenal pasti nilai yang disampaikan.

6. Fomula mudah menjawab Bagi memudahkan pelajar menjawab bahagian C ini , satu fomula direka yang dikenali ASSDA seperti dinyatakan:

i. Antara nilai murni/pengajaran…. A ii. Seterusnya…………….. S iii. Selain itu……… S iv. Di samping itu……. D v. Akhirnya ………. A Fomula ini memudahkan pelajar mengingat dengan menyediakan penanda wacana yang sesuai. Pelajar cuma memasukkan nilai dan membuat ulasan dalam lima ayat sahaja. Ini dapat membantu pelajar daripada membuat ulasan yang panjang. Untuk memudahkan lagi, terutama pelajar-pelajar lemah dan sederhana, masukkan frasa ‘kita mestilah’, kita sepatutnya’, ‘kita perlulah’ selepas penanda wacana seperti contoh disediakan: Antara nilai murni / pengajaran yang saya peroleh daripada petikan ialah ……………………......................................... ………………… . Seterusnya, kita perlulah………............................ ................................................................................Selain itu, kita mestilah………………………………......................................................... Di samping itu, kita sewajarnya ............................................. ….....................................Akhirnya,kita ……….............................

7. Kesilapan Semasa Menjawab
7.1 Menyalin petikan Jangan menyalin petikan. Anda dianggap tidak menjawab tugasan dan markah akan berada pada tahap Pencapaian Tahap Maksima (PTM).
7.2 Meringkaskan petikan Ada pelajar yang mengambil sebahagian ayat atau mengambil beberapa ayat dalam petikan dan menyambungnya seolah-olah tidak menyalin petikan. Ini juga tidak menepati tugasan dan berada pada pemarkahan Pencapaian Tahap Maksima (PTM).
7.3 Menyenarai nilai dalam bentuk poin atau frasa Pelajar cuba ambil cara mudah dengan hanya menyenarai nilai dalam bentuk poin atau frasa seperti contoh di bawah:
1. baik hati
2. berkerjasama - mesti bertanggungjawab * Perlu berhati-hati Pelajar yang berbuat sedemikian dianggap juga tidak menepati tugasan dan berada pada pemarkahan Pencapaian Tahap Maksima (PTM).

7.4 Ada nilai diberi tanpa huraian Pelajar yang memberi nilai sahaja tanpa huraian pemarkahannya berada pada aras memuaskan. Contoh: Selain itu kita mestilah rajin. Kita juga perlu bertanggungjawab. 7.5 Ambil nilai dalam petikan tetapi huraian luar petikan Ada pelajar yang dapat memberi nilai dengan tepat berdasarkan petikan tetapi ulasan nilai di luar petikan. Pelajar yang berbuat sedemikian tidak boleh cemerlang dan hanya berada pada pemarkahan Aras Memuaskan. Cuba lihat contoh di bawah yang mana ulasan di luar petikan. Ali membuat latihan bahasa Melayu yang diberikan oleh gurunya. Ulasan salah : Kita perlulah rajin kerana itu sikap yang baik. (Ulasan di luar petikan) Ulasan tepat : Kita perlulah rajin membuat kerja sekolah yang diberikan oleh guru. 7.6 Tidak menjelmakan nilai. Pelajar tidak dapat menjelmakan nilai. Pelajar biasanya mengambil semula nilai yang telah ada dalam petikan. Sepatutnya pelajar perlu menjelmakan nilai dengan memberi sinonim nilai yang terdapat dalam petikan. Perhatikan contoh di bawah : Ali mengucapkan terima kasih kepada Abu yang membantunya mengangkat mejanya. Salah : Kita perlulah mengucapkan terima kasih kepada rakan yang membantu kita. Betul : Kita perlulah menghargai bantuan yang diberikan oleh orang lain kepada kita. 7.7 Mengulang nilai atau idea Pelajar tidak perlu mengulang idea yang sama walau pun dalam petikan mengandungi nilai yang sama bagi aktiviti berbeza. Pengulangan nilai atau idea yang sama tidak memberi apa-apa markah. Oleh itu, pastikan hanya lima idea yang berlainan sahaja diulas. 8. Bentuk Ulasan Bahagian C 8.1 Bentuk Ulasan Terdapat dua cara yang tepat untuk menjawab soalan Bahagian C ini menggunakan fomula ASSDA seperti yang telah dijelaskan pada para 5 . Dua cara tersebut ialah: i. Memberi nilai dan membuat ulasan berdasarkan petikan. Contoh: Farid baru pulang dari sekolah. Selepas mandi, dia ke dapur menolong ibunya menghidang makanan tengah hari. Nilai : membantu Ulasan : Kita mestilah membantu ibu menghidangkan makanan di dapur bagi meringankan kerja ibu. ii. Memberi nilai dan mengambil contoh yang terdapat dalam petikan. Contoh: Farid baru pulang dari sekolah. Selepas mandi, dia ke dapur menolong ibunya menghidang makanan tengah hari. Nilai : membantu Ulasan : Kita mestilah membantu ibu seperti Farid yang menolong ibunya menghidang makanan tengah hari. * Pelajar boleh memilih salah satu cara menjawab mengikut kesesuaian. Di bawah ini diberikan sepenuhnya contoh menjawab bahagian C menggunakan kedua-dua cara yang telah diberikan. 9. Contoh Membuat Ulasan Bahagian C Tulis lima nilai yang dapat kamu peroleh daripada petikan di bawah. Panjangnya jawapan kamu hendaklah tidak lebih daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan. Sang Semut sering keluar mencari makanan untuk kumpulannya. Sang Semut bersungguh-sungguh dalam menjalankan tugas yang diberikan. Pada suatu hari, ketika Sang Semut asyik mencari makanan, Sang Semut telah terjatuh ke dalam sungai. Sang Semut dihanyutkan air dan hampir lemas. Sang Merbuk yang melihat kejadian itu segera menjatuhkan sehelai daun agar Sang Semut dapat berpaut. Sang Semut berjaya menyelamatkan dirinya dengan bantuan Sang Merbuk. Pada suatu petang, Sang Semut terlihat seorang pemburu sedang mengacukan senapang ke arah Sang Merbuk. Sang Semut segera mengiggit kaki pemburu itu. Pemburu terkejut lalu tembakannya tersasar. Sang Merbuk segera terbang untuk menyelamatkan diri. Sang Merbuk mengucapkan terima kasih kepada Sang Semut. Sejak peristiwa itu, Sang Semut dan Sang Merbuk bersahabat baik. UPSR 2009 Nilai yang diperoleh dalam petikan - rajin - bertindak pantas / bijak - bersungguh-sungguh - membalas / mengenang budi - tekun / berusaha / berdisiplin - berhemah / menghargai - berhati-hati - setiakawan / hubungan baik - membantu / menolong / baik hati - berani / rasional - prihatin / belas kasihan Contoh Ulasan Bentuk 1 (Ulasan Berkaitan Petikan) Antara nilai yang diperoleh ialah kita mestilah rajin mencari rezeki untuk keluarga kita. Seterusnya kita perlulah tekun berusaha apabila menjalankan tugas yang diberikan. Selain itu, kita sepatutnya menolong orang lain yang memerlukan pertolongan. Di samping itu, kita perlulah bertindak pantas untuk menyelamatkan diri daripada bahaya. Akhirnya, kita haruslah menghargai pertolongan orang lain dengan mengucapkan terima kasih. Contoh Ulasan Bentuk 2 (Ulasan Mengambil Contoh Dalam Petikan) Antara nilai yang diperoleh ialah kita mestilah rajin membuat kerja seperti Sang Semut menjalankan tugas yang diberikan. Seterusnya kita perlu berhati-hati agar tidak jatuh ke dalam sungai seperti Sang Semut. Selain itu, kita perlu tolong menolong seperti Sang Merbuk yang menjatuhkan daun untuk Sang Semut berpaut. Di samping itu, haruslah membalas budi seperti Sang Semut membantu Sang Merbuk daripada ditembak pemburu. Akhirnya, kita menghargai pertolongan orang lain seperti Sang Merbuk yang mengucapkan terima kasih kepada Sang Semut.

Pengenalan Kertas Bahasa Malaysia Pemahaman UPSR

1. Format Bahasa Melayu – Pemahaman adalah seperti berikut:
Kod kertas               :       011.
Nama kertas            :       Bahasa Melayu Kertas 1.
Jumlah soalan         :       40 soalan.
Bentuk soalan         :       Objektif Aneka Pilihan.
Pilihan jawapan       :       Empat pilihan, iaitu A, B, C dan D.                                 
Masa menjawab      :      50 minit.


 FORMAT PENTAKSIRAN
PERKARA
KERTAS (011): PEMAHAMAN
Jenis Instrumen
Ujian Objektif
Jenis Soalan
Objektif
·         Aneka Pilihan
Bilangan Soalan
40 item
·         30 item aneka pilihan (Kemahiran Bahasa)
·         10 item aneka pilihan (Kemahiran Membaca dan Memahami)
Pemarkahan
40 markah
Tempoh Ujian
50 minit
Konstruk Yang Ditafsir
Pengetahuan Tatabahasa
·         Morfologi
·         Sintaksis
·         Sistem Ejaan
·         Kosa Kata
·         Peribahasa
·         KemahiranMembaca dan Memahami
·         Pemahaman (2 petikan)
Cakupan Konteks
Mencakup semua bidang pembelajaran dalam Sukatan Pelajaran Tahun 1 hingga Tahun 6



PEMBAHAGIAN SOALAN


Soalan 1 – 30: Kemahiran Berbahasa (Sistem Bahasa)

1. Soalan kemahiran bahasa menguji pengetahuan tatabahasa calon.

2. Soalan-soalan dalam bahagian ini dibahagi kepada dua bahagian utama, iaitu
·         Aspek Kata (morfologi)
·         Aspek Ayat (sintaksis)

3. Terdapat beberapa soalan yang disertakan dengan ilustrasi sebagai panduan calon untuk menjawab soalan yang diberikan.

4. Antara aspek kemahiran berbahasa yang ditanyakan dalam format terbaru ini ialah:
                  (a) Penggolongan Kata.
                  (b) Pembentukan Kata.        
                  (c) Penggandaan.
                  (d) Pemajmukan.
                  (e) Pembentukan Ayat.
                  (f) Kesalahan Umum Tatabahasa

5.  Lazimnya, terdapat sejumlah soalan yang popular dalam bahagian ini, iaitu:

Bahagian Morfologi (Kata)


(a) Mengisi tempat kosong dengan perkataan yang paling sesuai. Tempat kosong tersebut  perlu diisikan dengan kata nama, kata kerja, kata adjektif, kata ganti nama, kata hubung, penanda wacana, kata sendi nama, kata arah, peribahasa, penjodoh bilangan dan imbuhan.

(b) Menggantikan kata yang bergaris dengan kata seerti dan kata berlawan.

                       

     
Bahagian Sintaksis (Ayat)

(a) Memilih ayat tanya yang betul berdasarkan ayat penyata yang diberi.

(b) Memilih jawapan berdasarkan soalan (ayat soal) yang dikemukakan.

(c) Memilih ayat yang maksud dengan ayat yang  diberi.

(d) Memilih ayat yang menggunakan kata yang  digarisi dengan betul.

(e) Memilih ayat yang betul struktur dan  tatabahasanya.

(f) Memilih ayat yang menggunakan kata banyak  makna.





ASPEK-ASPEK YANG PERLU DIKUASAI DALAM KEMAHIRAN BERBAHASA


1. Penggolongan kata.

·         Kata nama.

·         Kata ganti nama.

·         Kata kerja.

·         Kata adjektif.

·         Kata hubung.

·         Kata sendi nama.

·         Kata keterangan.

·         Kata bilangan.

·         Penjodoh bilangan.

·         Kata seru.

·         Kata perintah.

·         Kata pemeri.

·         Kata penegas.

·         Kata nafi.

·         Penanda wacana.


2. Pembentukan kata.

·         Pengimbuhan (imbuhan).

·         Penggandaan (kata ganda).

·         Pemajmukan (kata majmuk).


3. Kosa kata.

·         Kata seerti (Sinonim).

·         Kata berlawan (Antonim).

·         Kata hampir sama makna (Polisim).

·         Kata banyak makna.


4. Peribahasa.

·         Simpulan bahasa.

·         Perumpamaan.

·         Pepatah.

·         Bidalan.


5. Pembinaan ayat.

·         Memilih jawapan bagi soalan yang diberikan.

·         Memilih soalan bagi jawapan yang diberikan.

·         Memilih ayat yang sama maksud dengan ayat yang diberikan.


6. Kesalahan umum Tatabahasa.

·         Memilih ayat yang betul penggunaan katanya.

·         Memilih ayat yang betul struktur dan tatabahasanya.

·         Memilih ayat yang betul menggunakan kata banyak makna.



SOALAN 31-40: Kemahiran Membaca dan Memahami.

     
1. Terdapat 2 petikan pemahaman yang pelbagai jenis dikemukakan.


2 . Setiap petikan akan diikuti dengan 5 soalan pelbagai aras. Dengan ini, terdapat 10 soalan dalam bahagian ini.

3. Soalan-soalan yang dikemukan biasanya meliputi perkara-perkara berikut:


3.1 Pemahaman tentang fakta, isi-isi penting, urutan peristiwa dan merumus tajuk.

3.2 Pengetahuan tentang maksud perkataan atau rangkai kata.

3.3 Pengetahuan tentang maksud peribahasa atau simpulan bahasa.

3.4 Penggunaan olahan matematik dan soalan-soalan berkaitan sains.

3.5 Pemahaman tentang aspek nilai murni atau pengajaran yang terdapat dalam 
      petikan.


PANDUAN MENJAWAB SOALAN PEMAHAMAN

1. Membaca arahan dengan teliti dan difahami arahan tersebut.


2. Baca petikan sekali untuk mendapatkan idea kesuluruhan petikan yang diberi 

    dan gariskan maklumat-maklumat penting yang terdapat dalam petikan, misalnya      
    nama orang, nama tempat, tarikh, peristiwa penting dan maklumat utama yang 

    ada kaitan dengan petikan.


3. Baca semula petikan untuk lebih memahami petikan yang diberi.


4. Kemudian, baca soalan dengan teliti dan fahami soalan itu.


5. Pilih jawapan untuk soalan yang diberi berdasarkan petikan. Gunakan  pemahaman  
    dan ingatan terlebih dahulu.


6. Jika gagal untuk menentukan jawapan, barulah baca semula petikan untuk

    memastikannya.


7. Anda disarankan agar menjawab soalan-soalan yang dikemukakan berdasarkan

    petikan bukan berdasarkan pengetahuan sedia ada.


8. Semak semula jawapan yang telah anda pilih dengan merujuki petikan yang
    diberikan.







Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More